RAWANG, 7 Julai — Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kekal dengan pendiriannya untuk bersara sekiranya tewas dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang walaupun dipujuk oleh anaknya Nurul Izzah semalam.
Anwar yakin Pakatan Rakyat (PR) akan menang PRU 13 walaupun mungkin terdapat penipuan.
"Insya-Allah, saya yakin akan menang", katanya bila ditanya mengenai peluang memenangi PRU.
Dengan tegas ketua pembangkang mengulangi kenyataan jika PR kalah, dia akan bersara dari politik dan kembali mengajar.
"PRU mungkin akan berlangsung pada September, kita menang, kita tidak akan lupakan rakyat kerana kita juga pernah susah.
"Kalau kita menang, hari angkat sumpah kita akan turunkan harga minyak", kata ahli parlimen Permatang Pauh (gambar) itu.
Bekas timbalan perdana menteri itu mengatakan bahawa anak Tun Dr Mahathir menggunakan pengaruh bapanya untuk membeli Esso Malaysia yang bernilai RM1.9 bilion.
Pembelian itu juga mendorong Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menandatangani perjanjian dengan Esso Malaysia - kini dikenali sebagai Petron bagi membeli petrol untuk kapal terbang.
"Mirzan Mahathir telah beli syarikat bir San Miguel, Esso dan kini MAS tandatangan kontrak untuk petrol kapal terbang, sebab itu Mahathir takut kalau Pakatan menang", kata Anwar Ibrahim di hadapan penyokongnya dalam majlis makan malam anjuran PKR cabang Selayang malam tadi.
Baru-baru ini MAS memeterai perjanjian dengan Petron untuk membeli petrol sekaligus mengenepikan Petronas yang selama ini membekal petrol kepada syarikat penerbangan itu.
Terbaru, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail mendakwa MAS kerugian kerana terpaksa menanggung kos bahan api ketika dibekalkan oleh Petronas.
Azan berkata, Petron dianugerahkan kontrak pembekal bahan api adalah perkara yang sangat meragukan kerana Mahathir merupakan penasihat kepada Petronas.
"Petron diberi kontrak kerana ia dimiliki oleh anaknya, kerana San Miguel milik Mirzan telah untung menyebabkan dia boleh membeli 65 peratus saham Exxon Mobil Corporation iaitu syarikat induk Esso Malaysia Sendirian Berhad", kata Azan yang dipetik dari sebuah blog.
Turut hadir dalam ceramah itu adalah ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan ahli parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw.
Fuziah pula berkata rakyat haruslah menyedari penipuan dalam pilihanraya dan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.
Tan Seng Giaw berkata hutang negara sudah mencecah RM500 bilion dan skandal PKFZ oleh MCA memufliskan negara.